Wednesday 13 August 2014

Khalid pecat enam Exco PKR, DAP



SHAH ALAM 12 Ogos - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memecat serta-merta kesemua Exco daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana didapati cuba mengurangkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, menurut Abdul Khalid, beliau masih menunggu perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung perkara itu.

Enam Exco yang dipecat itu ialah:

Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau dari DAP serta Rodziah Ismail, Elizabeth Wong dan Dr. Daroyah Alwi dari PKR.

Menurut Abdul Khalid, keputusan itu diambil selepas mendapati keenam-enam Exco terbabit telah membuat beberapa kenyataan dan menandatangani surat supaya diadakan satu pakatan bertujuan mengurangkan kecekapan pengurusan kerajaan negeri.

"Saya telah menulis surat kepada Sultan supaya dapat membenarkan saya tidak meneruskan (membenarkan) Exco-exco ini menjalankan tugasnya (sebagai Exco).

"Saya juga telah menulis surat kepada kesemua mereka kecuali Rodziah kerana beliau kini berada di luar negara," katanya ketika ditemui di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Terdahulu, keenam-enam Exco berkenaan dalam kenyataan bersama menyatakan akan terus menjalankan tugas masing-masing tetapi menegaskan tidak akan berjumpa dengan Abdul Khalid kecuali pada mesyuarat mingguan Exco.

Sambil menegaskan, ia adalah mandat yang ditetapkan parti mereka itu bagi mengelak sebarang perbincangan tentang kedudukan parti masing-masing.

"Selain itu, dalam urusan yang melibatkan kami, kedudukan dan fungsi Abdul Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang menteri besar daripada pakatan pembangkang dilantik.

"Abdul Khalid dan Exco juga tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian. Sebarang keputusan Exco perlulah diundi supaya fungsi Abdul Khalid dihadkan kepada kapasiti peralihan," kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Enam Exco itu berkata, kesemua perkara berkenaan akan dilaksanakan serta-merta.
Mereka berkata seperti yang dimaklumkan sebelum ini, PKR dan DAP akan menggunakan kaedah yang menepati Undang-undang Tubuh Negeri serta enakmen berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan kerajaan Selangor kepada pakatan pembangkang yang dipilih rakyat.

"Sebagai menghormati kehendak rakyat dan titah Sultan Selangor, kami akan terus menjalankan tugas mengikut mandat yang diberikan kepada pakatan pembangkang sementara perkara ini diselesaikan secara baik dan seorang menteri besar daripada pakatan pembangkang mengambil alih dalam masa terdekat," kata mereka.







No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...