Showing posts with label TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM. Show all posts
Showing posts with label TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM. Show all posts

Wednesday, 13 August 2014

Khalid pecat enam Exco PKR, DAP



SHAH ALAM 12 Ogos - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memecat serta-merta kesemua Exco daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana didapati cuba mengurangkan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, menurut Abdul Khalid, beliau masih menunggu perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung perkara itu.

Enam Exco yang dipecat itu ialah:

Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganabatirau dari DAP serta Rodziah Ismail, Elizabeth Wong dan Dr. Daroyah Alwi dari PKR.

Menurut Abdul Khalid, keputusan itu diambil selepas mendapati keenam-enam Exco terbabit telah membuat beberapa kenyataan dan menandatangani surat supaya diadakan satu pakatan bertujuan mengurangkan kecekapan pengurusan kerajaan negeri.

"Saya telah menulis surat kepada Sultan supaya dapat membenarkan saya tidak meneruskan (membenarkan) Exco-exco ini menjalankan tugasnya (sebagai Exco).

"Saya juga telah menulis surat kepada kesemua mereka kecuali Rodziah kerana beliau kini berada di luar negara," katanya ketika ditemui di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Terdahulu, keenam-enam Exco berkenaan dalam kenyataan bersama menyatakan akan terus menjalankan tugas masing-masing tetapi menegaskan tidak akan berjumpa dengan Abdul Khalid kecuali pada mesyuarat mingguan Exco.

Sambil menegaskan, ia adalah mandat yang ditetapkan parti mereka itu bagi mengelak sebarang perbincangan tentang kedudukan parti masing-masing.

"Selain itu, dalam urusan yang melibatkan kami, kedudukan dan fungsi Abdul Khalid hanyalah dalam kapasiti peralihan sementara menunggu seorang menteri besar daripada pakatan pembangkang dilantik.

"Abdul Khalid dan Exco juga tidak boleh membuat sebarang keputusan tanpa melalui proses undian. Sebarang keputusan Exco perlulah diundi supaya fungsi Abdul Khalid dihadkan kepada kapasiti peralihan," kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Enam Exco itu berkata, kesemua perkara berkenaan akan dilaksanakan serta-merta.
Mereka berkata seperti yang dimaklumkan sebelum ini, PKR dan DAP akan menggunakan kaedah yang menepati Undang-undang Tubuh Negeri serta enakmen berkenaan untuk mengembalikan tampuk pemerintahan kerajaan Selangor kepada pakatan pembangkang yang dipilih rakyat.

"Sebagai menghormati kehendak rakyat dan titah Sultan Selangor, kami akan terus menjalankan tugas mengikut mandat yang diberikan kepada pakatan pembangkang sementara perkara ini diselesaikan secara baik dan seorang menteri besar daripada pakatan pembangkang mengambil alih dalam masa terdekat," kata mereka.







Thursday, 7 August 2014

Hanya sultan boleh bubar DUN




DR. AZIZUDDIN MOHD. SANI


KUALA LUMPUR 6 Ogos - Keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri terletak sepenuhnya atas budi bicara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas menerima nasihat daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Nik Kamal Nik Mahmod berkata, persoalan sama ada berlaku pilihan raya di Selangor bergantung kepada keputusan Sultan Sharafuddin untuk membubarkan DUN dan tiada pihak lain termasuk parti politik mempunyai kuasa dalam hal tersebut.

Katanya, dalam kemelut pelantikan Menteri Besar baharu di Selangor, Abdul Khalid hanya boleh dipecat menerusi undi tidak percaya terhadap beliau oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan majoriti biasa sekiranya enggan melepaskan jawatan tersebut.

"Jika ada undi tidak percaya, menteri besar wajib meletakkan jawatan kecuali beliau memohon Sultan Selangor membubarkan DUN. Jika Sultan Selangor enggan, baginda boleh melantik menteri besar baharu daripada calon yang mendapat sokongan majoriti ADUN.

"Ini bermakna jika Sultan Selangor tidak membubarkan DUN, maka tiadalah pilihan raya di negeri itu. Pihak-pihak lain tidak mempunyai kuasa dalam soal ini. Undang-undang Tubuh Negeri Selangor menyatakan pembubaran DUN dalam keadaan sedemikian adalah budi bicara baginda,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilaporkan bersiap sedia untuk me­ngadakan pilihan raya di negeri Selangor jika gagal menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar baharu secara lancar.

Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pilihan raya tersebut terpaksa diadakan sekiranya parti itu tidak mempunyai pilihan untuk menggantikan Abdul Khalid dengan Menteri Besar Sela­ngor yang baharu.

Dalam pada itu, Nik Kamal berkata, jika pilihan raya tetap dilakukan di Selangor, rakyat negeri itu mempunyai peluang kedua untuk menentukan kerajaan baharu sama ada ingin meneruskan dengan pakatan pembangkang sebagai pentadbir negeri atau memilih semula Barisan Nasional (BN).

Katanya, PKR boleh diramalkan hilang beberapa kerusi DUN atas dasar kehilangan kepercayaan pengundi terhadap parti itu kerana masalah dalaman yang timbul ekoran krisis penggantian menteri besar dan masalah ketika pemilihannya baru-baru ini.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, pakatan pembangkang boleh kehilangan kuasa di negeri Selangor jika pilihan raya diadakan berikutan perkembangan semasa yang menyaksikan wujud percanggahan pendapat sesama mereka khususnya antara pemimpin PKR dan Pas berhubung isu Menteri Besar.

Beliau yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, situasi yang berlaku itu memberi ke­lebihan kepada BN khususnya dalam meraih sokongan pengundi Melayu yang bosan dengan perkembangan berkenaan, namun masih memerlukan kerja kuat bagi mendapat undi kaum Cina.

"Rakyat Selangor kini berasa bosan selepas memberi kepercayaan majoriti dua pertiga kepada pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu tetapi membawa masalah dalam pentadbiran negeri dengan terlalu banyak berpolitiking sehingga matlamat menunaikan amanah terpinggir.

"Orang Melayu mungkin akan memberi lebih banyak sokongan kepada BN, namun MCA dan Gerakan perlu memainkan peranan agresif untuk menarik sokongan pengundi Cina," katanya.


Artikel Penuh: 


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...