Sunday 27 January 2013

INI SEBENARNYA



PETIKAN DARI mymassa...

ISU RCI DI SABAH : HANYA KEBENARAN AKAN MEMBEBASKAN BELENGGU RAKYAT

Rakyat Malaysia samada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak perlu menunggu hasil siasatan dari Suruhanjaya Siasatan Diraja sebelum membuat apa-apa spekulasi dan kesimpulan mengenai motif di sebalik pemberian kad pengenalan Malaysia kepada pendatang asing pada masa lampau. Ini bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran jelas tentang apa sebenarnya berlaku.



Sekiranya testimoni dari sesetengah pihak diterima bulat-bulat sebagai perkara sebenar, kita mungkin terperangkap dengan mempercayai sumber yang belum tentu sahih daripada satu hakikat kebenaran yang rumit. Lagipun, kenyataan oleh beberapa saksi pada hari ketiga siasatan telah disangkal oleh testimoni berikutnya pada hari keempat dan kelima. Perkara sebegini merupakan kebiasaan dalam siasatan yang dikendalikan secara terbuka dan berhemah.

Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak telah mengambil langkah berani dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat isu kontroversi yang telah menjadi perbalahan dalam politik di Sabah selama lebih dari tiga dekad. Langkah ini menunjukkan kesediaan Kerajaan untuk menerima kebenaran tanpa mengira implikasi yang bakal ditimbulkan. Kebenaran yang bakal terungkai dari hasil siasatan ini akan membebaskan penduduk Sabah yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama dari keraguan dan syak wasangka yang telah menjadi duri dalam daging kepada hubungan etnik di Sabah.

Namun demikian, dalam konteks ini, rakyat tidak seharusnya terlepas pandang mengenai satu aspek kritikal dalam pemberian hak kerakyatan kepada warga asing;iaitu sejumlah besar daripada pendatang asing yang memegang kad pengenalan merupakan mangsa perang berlarutan di Mindanao yang telah melarikan diri dari tempat asal untuk berlindung di Sabah sejak tahun 70-an. Aspek kemanusiaan ini merupakan pertimbangan utama dalam pemberian hak kerakyatan, terutamanya untuk negara seperti Malaysia, sebuah negara yang berpegang teguh kepada keadilan dan berbelas kasihan.

Menyorot kembali sejarah kemerdekaan negara pada tahun 1957, sejumlah satu juta penduduk Cina dan India yang bermastautin di Malaya telah diberi kerakyatan dalam sekelip mata. Ini berasaskan beberapa faktor tertentu seperti peranan dan kepentingan mereka dalam sektor ekonomi iaitu getah dan bijih timah, ancaman pemberontak komunis dan yang paling utama ialah perpaduan kaum yang telah disyaratkan oleh British untuk Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Sebagaimana pandangan dari Tun Dr. Mahathir Mohamad, kepimpinan UMNO pada masa tersebut juga telah bersedia untuk mengenepikan pemberian hak kerakyatan secara konvensional dalam usaha untuk menarik semua penduduk Tanah Melayu untuk turut sama memperjuangkan kemerdekaan. Pendekatan ini amat berbeza dengan kepemimpinan negara berbilang kaum lain dimana dikotomi atau pengasingan telah wujud di antara pribumi dan bukan pribumi hasil dari pemerintahan penjajah seperti Indonesia dan Myanmar. Di negara-negara seperti itu, peraturan pemberian kerakyatan amat ketat bagi memastikan asimilasi antara komponen kaum yang wujud.

Sebaliknya di Malaysia, pemberian hak kerakyatan kepada kaum bukan Melayu dan bukan Bumiputera telah mengubah lanskap negara sama sekali. Tanah Melayu yang telah wujud melalui Kesultanan Melayu sejak berkurun lamanya kini cumalah satu komuniti kaum Melayu di dalam pelbagai komuniti kaum lain yang wujud dalam negara. Dalam erti kata lain, pemberian hak kerakyatan secara mudah kepada orang Cina dan India telah mengubah sifat dan ciri utama pembangunan negara. Disebabkan inilah, cabaran terbesar negara sejak 55 tahun yang lalu adalah menyesuaikan hak orang Melayu yang merupakan penduduk asal Tanah Melayu dengan kepentingan bukan Melayu melalui integrasi kaum memandangkan kesemuanya merupakan rakyat Malaysia.

Jika dilihat dari satu sudut, perkara yang sama juga berlaku di Sabah, di mana penduduk Sabah turut melalui satu perubahan akibat dari pemberian hak kerakyatan kepada pelarian daripada negara jiran. Kaum Bumiputra bukan Islam yang merupakan kaum terbesar di Sabah sewaktu pembentukan Malaysia pada tahun 1963, telah hilang majoritinya kepada Bumiputra Islam. Keadaan ini telah menimbulkan perasaan bimbang dan runsing penduduk yang terdiridari kalangan pelbagai kaum dan situasi ini haruslah ditangani dengan bijak dan berempati.

Menyeimbang dan mengharmonikan kepentingan kedua segmen Islam dan bukan Islam serta elemen Bumiputra dalam perkara ini memerlukan ketangkasan dan kebijaksanaan kepimpinan negara.Dalam perkara ini, negeri Sabah amat beruntung kerana mempunyai tokoh pemimpin seperti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang dikenali kerana kematangan fikiran beliau dan pengalaman politik yang luas telah berjaya mengekalkan keharmonian kaum dan agama di Sabah.

*Artikel ini adalah terjemahan dari artikel yang ditulis oleh bekas orang kanan Anwar iaitu Dr. Chandra Muzaffar di sini : Yayasan 1Malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...