Tuesday 6 May 2014

SIAPA CALON BARISAN NASIONAL DI P.76 TELUK INTAN TERJAWAB!!!!





Penasihat Gerakan Perak, Datuk Chang Ko Youn masih berharap Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dicalonkan sekali lagi bertanding kerusi Parlimen Teluk Intan pada pilihan raya kecil akan datang berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser, minggu lalu.

Menurutnya, beliau percaya Siew Keong adalah calon paling layak menduduki kerusi itu berikutan latar belakangnya sebagai anak tempatan selain mempunyai jaringan komunikasi kuat dengan rakyat walaupun pernah tewas pada pilihan raya umum lalu.

“Secara peribadi, saya menyokong Siew Keong menjadi calon untuk kerusi terbabit berikutan rekodnya yang baik dalam menyumbangkan perkhidmatan dan pembangunan kawasan serta dikenali masyarakat.

“Bagaimanapun, pemilihan nama calon akan diserahkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui di Rumah Orang-Orang Tua Kampung Simee di sini, semalam.

Ko Youn berkata, Gerakan telah bersiap siaga untuk ‘turun padang’ pada pilihan raya kecil itu bagi membantu calon berkempen setelah tarikh diumumkan kelak.

“Kita telah memulakan perundingan untuk meyakinkan calon dengan membuat keputusan sewajarnya. Saya tidak nampak sebarang pertikaian dalam komponen BN.

“Gerakan mempunyai jalinan kuat sesama ahli dan mempunyai jentera yang kukuh di Teluk Intan dan berdasarkan pengalaman dan kesalahan dalam pilihan raya lalu, Gerakan mampu mengharungi semua cabaran nanti,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Leong Peng memenangi kerusi dengan 27,399 undi mengalahkan Siew Keong (20,086) dan calon bebas, K Moralingam (279).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...