JOHOR BAHRU - Pemuda
Umno Bahagian Pulai bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan
polis terhadap Alvin Tan yang secara terang-terangan mengutuk dan mengaibkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Menteri Dalam Negeri, Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di
akaun Facebook miliknya.
Exco Pemuda Umno, Sheikh Nafiq Alfirdaous Sheikh Abd Rahman berkata, tindakan
blogger yang pernah mencetuskan beberapa isu sensitif dilihat semakin melampau
dan biadab.
Beliau berkata, polis dan Pejabat Peguam Negara perlu segera menyiasat tindakan
tidak bertamadun itu dan membawa Alvin yang kini melarikan diri ke Amerika
Syarikat ke muka pengadilan.
"Pemuda Umno dan NGO belia di Parlimen Pulai mahu polis dan Peguam Negara
mengambil tindakan serius dan segera bagi menangani gejala yang amat
membahayakan itu.
“Perkara ini jika tidak dipandang serius, bakal mencetuskan satu budaya kotor
yang boleh membangkitkan suasana haru- biru di negara ini,” katanya ketika
membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, semalam.
Sheikh Nafiq, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Pulai, turut mencabar Alvin
pulang ke Malaysia dan bersemuka dengan Pemuda Umno daripada menjadi pengecut
dan hanya membuat tindakan keji melalui laman sosial di luar negara.
"Kalau dia anak jantan, balik segera ke negara ini dan kami (Pemuda Umno)
sedia bersemuka serta tidak gentar mendengar cacian atau kutukan secara
berdepan.
"Jangan jadi bacul dengan menjadikan laman maya sebagai medan untuk
berlagak berani," katanya.
No comments:
Post a Comment