Wednesday, 22 March 2017

Usaha Sabotaj Ekonomi Negara

USAHA SABOTAJ NEGARA, KERAJAAN PERLU AMBIL TINDAKAN SEGERA

1. Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib mendedahkan bahawa terdapat beberapa rakyat Malaysia yang tidak bertanggungjawab cuba memberi maklumat palsu kepada syarikat minyak Saudi Aramco supaya mereka tidak melabur hampir RM 31 billion dalam projek Refinery and Petrochemical Integrated Development (RAPID) di Pengerang, Johor. 

2. Malah, ini bukan pertama kali usaha sabotaj sebegini telah dilakukan oleh rakyat Malaysia terhadap ekonomi negara kita. Pemimpin-pemimpin DAP juga antara yang paling aktif mensabotaj ekonomi negara dengan menghantar wakil-wakil mereka ke luar negara untuk memburukkan imej negara dan kerajaan. Cubaan ini adalah untuk menggagalkan usaha kerajaan menarik pelaburan asing ke negara ini. 

3. Contohnya, pada 18 Julai 2013 yang lalu, pemimpin DAP dari Johor terutamanya ADUN Mengkibol Tan Hong Pin; ADUN Tangkak Ee Chin Li; ADUN Bentayan Chua Wee Beng dan Pemimpin PAS Mazlan Aliman telah pergi ke Taiwan untuk memprotes penyertaan syarikat GLC Taiwan Kuokuang Petrochemical Technology Company (KPTC) dari melabur dalam projek RAPID. Akibatnya, sebulan selepas protes diadakan di Taiwan oleh wakil-wakil DAP ini, KPTC pun telah menarik diri dari melabur di RAPID atas sebab-sebab tertentu. 


4. Malah, pemimpin DAP juga antara yang sangat konsisten memburukkan imej negara di luar. Lim Guan Eng umpanya, pernah memburukkan imej negara di Hong Kong apabila beliau menjangkakan Malaysia tidak akan mencapai sasaran KDNK antara 4.5% – 5% yang disasarkan kerajaan. Ini sekaligus memberikan imej kepada pelabur Hong Kong bahawa kerajaan Malaysia tidak mampu mentadbir ekonomi dengan baik dan menjadikan negara kita kurang menarik bagi pelabur-pelabur negara asing untuk melabur.


5. Selain cuba untuk sabotaj projek RAPID, pihak pembangkang juga pada suatu ketika dahulu telah cuba mensabotaj projek LYNAS di Kuantan, Pahang. Mereka telah turun berdemonstrasi di hadapan pejabat pesuruhjaya tinggi Australia di Kuala Lumpur dan juga telah melakukan beberapa demonstrasi di hadapan kilang Lynas di Gebeng. 


6. Malah Ahli Parlimen Kuantan dari PKR, Fuziah Salleh juga antara yang kuat membantah pembangunan Lynas dan menggunakan isu Lynas sebagai modal politik kempen PRU beliau. Namun sekarang, isu LYNAS ini sudah tiba-tiba diam dan bukan lagi satu isu. Ini membuktikan segala kenyataan terhadap LYNAS yang dikeluarkan oleh pihak pembangkang merupakan satu fitnah dan penipuan semata-mata untuk membangkitkan kemarahan rakyat dan digunakan sebagai modal politik untuk meraih undi. 


7. Saya berharap pihak kerajaan memandang serius segala usaha pihak pembangkang untuk mensabotaj ekonomi negara. Ini kerana tindakan jijik dan tidak bertanggungjawab mereka ini mempunyai implikasi yang sangat besar terhadap kemajuan serta pembangunan negara tercinta kita ini. Bayangkan berapa banyak peluang pekerjaan, latihan keusahawanan sama ada dalam industri kecil mahupun sederhana, industri perkhidmatan dan aktiviti ekonomi lain hasil daripada pelaburan ini yang tidak akan wujud sekiranya pembangkang berjaya dalam agenda jahat mereka untuk mensabotaj ekonomi negara. 

8. Pihak kerajaan terutamanya pihak polis dan pejabat peguam negara wajar melihat undang-undang apa yang boleh dikenakan kepada pengkhianat negara seperti ini supaya tindakan mensabotaj ekonomi negara ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

Huan Cheng Guan
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia.


No comments:

Post a Comment