Thursday, 16 March 2017

BETUL KE TANAH AIR KITA NI AKAN TERGADAI?

Ramai betul orang share pasal kononnya Tanah Air kita bakal tergadai. Mereka mulakan dengan sejarah dari Perjanjian Bangkok 1909 antara Raja Siam dan British. Kononnya Kelantan, Kedah dan Perlis masing-masing telah kehilangan Tak Bai, Satun, Pulau Tarutao, Wilayah Sadao dan Wilayah Pujo. Tetapi tahukah anda kisah sebenar di sebalik Perjanjian Bangkok 1909?

PERJANJIAN BANGKOK 1909

Perjanjian itu sebenarnya dimeterai untuk menyeimbangkan perdagangan dua hala dan memansuhkan hak keistimewaan di Siam serta memujuk Raja Chulalongkorn untuk MENYERAHKAN NEGERI-NEGERI MELAYU SEPERTI KEDAH, TERENGGANU & KELANTAN KEPADA BRITAIN. Menurut maklumat daripada Arkib Negara, perjanjian itu antaranya menyebut:

Melalui Perjanjian Bangkok 1909 itu, kerajaan Siam menyerahkan negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu untuk bernaung di bawah pemerintahan Inggeris. Perjanjian tersebut telah ditandatangani di Bangkok oleh Ralph Paget Duta Britain di Siam Mewakili King Great Britain dan Ireland serta Putera Devawongse Varoprakar, Menteri Luar Kerajaan Siam ketika itu.

Butir-butir Perjanjian Bangkok 1909 adalah seperti berikut:-
1)Penyerahan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, dan pulau-pulau bersebelahan kepada Great Britain.
2)Tarikh penyerahan dalam tempoh tiga puluh hari selepas ratifikasi perjanjian.
3)Perlantikan Suruhanjaya Bercampur untuk persempadanan Inggeris-Siam.
4)Hutang awam wilayah yang diserahkan akan tetap dibayar kepada Kerajaan Siam.
5)Penghapusan bidang kuasa Konsul British di Siam.
6)Hak rakyat British di Siam terhadap harta, kediaman dan perjalanan, cukai, dll.
7)Pengesahan perjanjian lama .
8)Ratifikasi dalam tempoh empat bulan.

(Teks diambil dari Arkib Negara Malaysia, P.112.2)

Jadi wahai rakyat Malaysia sekalian, tang manalah yang sebut Malaysia kehilangan wilayah-wilayah tersebut kerana wilayah-wilayah serta 3 negeri yang berada di bawah Malaysia sekarang sebenarnya adalah di bawah naungan Raja Siam iaitu Raja Chulalongkorn pada asalnya. Sekarang korang bersyukur tak Perjanjian Bangkok 1909 itu wujud? Sebab kalau tak ada perjanjian itu, nasib orang-orang di negeri Kedah, Kelantan dan Perlis tidak ubah seperti nasib orang-orang Melayu Islam di Pattani dan Golok yang masih bergolak dengan keganasan dan pembunuhan.

SINGAPURA KELUAR MALAYSIA

Selepas itu, penulis mereng itu terus menerus berfantasi kononnya kita sengaja melepaskan Singapura, Pulau Batu Putih dan Stesen KTM Tanjong Pagar di Johor sedangkan jika beliau betul-betul semak sejarah sebenar, Lee Kuan Yew adalah makhluk perosak yang bakal merosakkan satu Malaysia dengan ideologi komunisnya sekiranya dibiarkan terus memerintah Singapura. Lee Kuan Yew menjadikan alasan Melayu juga pendatang supaya beliau dapat menjadi Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu. Bukan itu sahaja, beliau turut mencetuskan ketegangan kaum sehingga berlaku rusuhan di Singapura di mana 22 orang terbunuh, 200 cedera dan lebih 1130 ditangkap. Bulan Ogos pula, sekali lagi pergaduhan berlaku. 8 terbunuh dan 60 cedera.

Kejadian ini meyakinkan Tunku Abdul Rahman bahawa dengan mengekalkan Singapura dalam Malaysia bakal mengundang rusuhan perkauman yang lebih dashyat lagi.

Oleh sebab inilah Tunku memisahkan Singapura & Malaysia kerana pergolakan yang berlaku dan kerana itu jugalah, Lee Kuan Yew pernah menangis di hadapan Puteri Elizabeth, dan atas kebijaksanaan Tunku, Lee Kuan Yew yang hampir sedikit lagi akan dapat menawan Malaysia telah gagal dalam usaha beliau untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Korang nak ke Lee Kuan Yew jadi Perdana Menteri Malaysia dan mendapat nasib seperti di Singapura yang mana jawatan paling tinggi yang korang boleh pegang pun hanyalah sebagai tukang sapu?

PEDRA BLANCA ATAU PULAU BATU PUTIH

Tentang Pulau Batu Putih pula, tahukah anda kerajaan kita sekarang sudah buka semula rayuan kepada Mahkamah Antarabangsa ICJ untuk mendapatkan semula pulau tersebut daripada Singapura? Singapura mendapat hak ke atas pulau tersebut pun disebabkan oleh satu dokumen yang telah 'dibeli' daripada seorang pengkhianat Malaysia (siapa pengkhianat tu?Tungguuuuu). Kini, terdapat “Fakta baharu” yang mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabansga (ICJ) berhubung Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh merujuk kepada 3 dokumen yang ditemui di National Archives of the United Kingdom.

Dalam siaran media melalui laman sesawangnya pada Jumaat, ICJ berkata, dokumen itu termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan sebuah peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari 1960-an.

Katanya, dokumen berkenaan ditemui di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017. Jadi siapa yang bijak sangat cakap negara kita ni suka jual negara pada orang lain?

STESEN KTM TANJUNG PAGAR

Daim Zainuddin sebagai Menteri Kewangan merupakan individu yang sudah menandatangani perjanjian untuk menyerahkan tanah itu kepada Singapura dengan diganti tanah lain. Perjanjian ini dibuat bersama-sama PM Singapura ketika itu iaitu Lee Kuan Yew.Adakah anda ingat perjanjian itu sebagai perjanjian kosong dan Malaysia dapat habuk? Tidak sama sekali sebab penyerahan Stesen Keretapi Tanjong Pagar itu sebenarnya telah menguntungkan negara kerana sebagai balasan, Malaysia telah pun mendapat tanah di kawasan paling hot di Singapura iaitu di Marina Bay Sands! 

Stesen Keretapi Tanjong Pagar pula tetap akan pegun menjadi sebuah stesen keretapi sahaja dan sebarang development dilarang sama sekali. Kerajaan Singapura tidak boleh merobohkan stesen tersebut mahupun melakukan apa-apa pembangunan di situ dan jika ada yang pernah menjejakkan kaki ke sana anda sudah pasti tahu akan keadaan stesen yang usang yang sepatutnya dibiarkan sebagai monumen sejarah sahaja. 

Bukan itu sahaja, Malaysia turut memiliki berdekatan Ophir Road, tempat business kelas sederhana di Temasek yang sudah pasti bernilai jutaan ringgit sekarang. Jadi terpulanglah. Kamu nak nostalgia ada stesen usang dan kotor, buat malu nama Malaysia dan Melayu. Atau dapat tanah bernilai berjuta dan boleh dimajukan bersama.

TUDM SUNGAI BESI

Ramai yang bising tentang penutupan Kem TUDM Sungai Besi ini kononnya sebab nak dijual kepada negara China dan yang kelakarnya yang bising dan terkinja-kinja macam kera ini bukanlah askar-askar di dalam TUDM itu sendiri, sebaliknya civilian dan ahli politaik yang tidak tahu asal usul cerita. Ramai yang terlopong apabila mendengar bahawa kem TUDM itu sebenarnya akan berpindah ke Negeri Sembilan dan bukanlah ditutup atau dijual sebab nak bayar hutang kononnya. Kem yang baharu bakal terletak di Labu, Negeri Sembilan yang sebelum ini mempunyai banyak estes dan perkampungan Melayu. Nampaknya orang kampung akan mendapat tempias pembangunan pengkalan baru ini. Kalau tidak Labu hanya akan tinggal sebagai kampung Melayu sahaja. Baguslah dapat juga orang kampung merasa.Pemilihan kawasan Labu adalah di antara kawasan strategik yang sedang ditinjau oleh TUDM dan kawasan lain yang turut di dalam pertimbangan sebelum ini ialah di Sungai Buloh serta Dengkil.

Berbalik kepada Kem TUDM di Sungai Besi ini, Walaupun ia strategik pada satu ketika dahulu tetapi kedudukannya yang terletak bersebelahan dengan lebuh raya dan ibunegara bakal membenarkan macam-macam perkara untuk berlaku seperti sabotaj dan hal-hal kecemasan lain yang mungkin membahayakan kedudukan penempatan di sekitarnya. Sejarah sendiri sudah membuktikan bahawa lapangan tersebut pernah disabotaj. Kedudukan lapangan terbang yang terbuka, hampir dengan masyarakat am serta laluan utama negara membolehkan sebarang aktiviti pemantauan terhadap lapangan terbang tersebut dibuat dengan mudah.

Korang kan rajin berfantasi dan sudah khatam banyak filem Hollywood, mesti pernah tengok cerita pengkalan tentera yang diceroboh pengganas disebabkan lokasi yang terbuka dan tidak strategik dek pembangunan kan? Apa rahsia yang boleh disimpan di pengkalan TUDM Sungai Besi kerana umum boleh melihat dengan jelas aktiviti di pengkalan udara tersebut.Sebuah pengkalan tentera udara merupakan satu kawasan yang sulit dan penuh rahsia, jadi tidak wajar Sungai Besi dikekalkan.

Janganlah risau sebab kita ada sebuah lagi pengkalan TUDM di Subang yang lebih strategik dan aktiviti ketenteraan yang tidak terlihat oleh orang awam.Macam mana nak sorok rahsia pergerakan tentera dan pesawat kalau ratusan atau ribuan mata boleh melihat segala pergerakan pesawat dan aktiviti tentera di dalam apron pengkalan, takkanlah nauzubillahiminzalik jika terdapat peperangan nanti?

FOREST CITY

Projek yang dinamakan Forest City itu melibatkan pembinaan empat buah pulau buatan manusia di perairan Tanjung Kupang antara barat daya Johor dan barat laut Singapura, diusahasama antara pemaju terbesar dari China, Country Garden Holdings dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), milik kerajaan Negeri Johor.

Tiada tanah yang diambil sebab Forest City dibangunkan di atas tanah tambak, tiada kaitan dengan tanah PTP kerana tanah PTP adalah milik PTP dan PTP bukan kerajaan, mereka adalah syarikat. Malahan setiap pemaju yang melakukan kerja-kerja penambakan itu akan dikenakan caj sebanyak 30 sen bagi setiap kaki persegi dan hasil kutipan dijangka mencecah kira-kira RM104 juta dan dari hasil kutipan tersebut akan dimasukkan ke dalam Tabung Nelayan untuk diagih-agihkan kepada 1,800 ahli Persatuan Nelayan Johor Selatan yang mengalami kemerosotan punca pendapatan berikutan kesan kerja-kerja penambakan berkenaan.
Oleh itu, tidak timbul isu kerajaan negeri mengambil tanah yang telah diberikan kepada PTP untuk membina Forest City.

Projek Forest City adalah projek pembinaan sebuah bandar pintar dengan dibina atas pulau buatan tanah tambak dari laut, oleh itu tidak wujud istilah 'menyerahkan' tanah kepada sesiapa, sebaliknya Malaysia memiliki 'tanah baharu' melalui projek tersebut.

PROTON

Isu PROTON ini masih lagi hangat diperkatakan oleh netizen dan rata-rata masih ramai lagi yang kurang faham tentang partnership yang mungkin akan jadi atau mungkin tidak akan jadi. Yang sibuk didebatkan adalah kononnya SELURUH PROTON akan dijual kepada syarikat asing dan kononnya akan ditukar nama kepada PLOTON sebab jual pada syarikat China.

Pertama sekali kita harus tahu tentang kedudukan PROTON di Malaysia ini. Proton bukan lagi dimiliki oleh Kerajaan. Proton Holdings Berhad adalah sebuah syarikat milik DRB-Hicom. DRB-Hicom pula adalah syarikat yang dikuasai oleh TS Syed Mokhtar Al-Bukhari, seorang billionaire dan individu ke 10 terkaya di Malaysia. DRB-HICOM telah mengambilalih pegangan dalam Proton daripada Khazanah setelah mereka berjaya menewaskan bidaan Kumpulan Naza.

Pengambilalihan oleh kumpulan DRB-HICOM milik Syed Mokhtar itu pada tahun 2011/12 disokong oleh Tun Dr Mahathir Mohamed, pengasas Proton. DRB-HICOM telah melantik Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi Proton sehinggalah beliau meletak jawatan semasa masalah kewangan berada pada kemuncaknya.

Kedua, Proton telah memohon pertolongan kewangan berbentuk geran daripada Kerajaan Malaysia dan telah diluluskan pinjaman sejumlah RM1.5 billion untuk membayar hutang Proton kepada vendor-vendornya. Pinjaman Kerajaan Malaysia kepada Proton adalah bertujuan untuk memastikan vendor-vendor Proton tidak gulung tikar atau muflis akibat dari kegagalan Proton untuk melunaskan hutangnya kepada vendor-vendor terlibat. Salah satu syarat yang dikenakan oleh Kerajaan Malaysia kepada Proton adalah untuk mencari rakan teknikal yang sesuai bagi memulihkan perniagaan Proton.

Oleh itu, tidak sepatutnya timbul sebarang persoalan atau dakwaan bahawa Kerajaan Malaysia menjual pegangan dalam Proton kepada syarikat asing, khasnya dari China. Ini adalah kerana jemputan atau tawaran kepada pihak yang berminat untuk menjadi 'rakan teknikal' Proton dibuat oleh DRB-HICOM, pemilik Proton itu sendiri.

Berkenaan partnership yang mungkin akan melihat pemilikan kilang PROTON di Tanjung Malim ini, hanya 51 peratus daripada aset di KILANG TANJUNG MALIM sahaja yang bakal dimiliki oleh Geely dan bukanlah pemilikan keseluruhan PROTON seperti yang digembar gemburkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

PENUTUP

Memang penat sebenarnya nak melawan serta mensahihkan isu-isu yang berterbangan di media sosial dan di laman chat seperti Whatsapp dan WeChat ini. Rakyat Malaysia masih jauh lagi ketinggalan di dalam ilmu tabayyun dan husnuzon walaupun majoriti daripada kita ni umat Islam yang dilahirkan sebagai Islam. Bukan itu sahaja, budaya kita yang malas membaca mengeruhkan lagi keadaan menyebabkan kita selalu beremosi dengan perkara-perkara yang belum tentu ada betulnya.

Nasihat kepada netizen-netizen Malaysia di luar sana, negara kita tak lama lagi akan capai status negara maju dah, apa guna ada negara maju kalau mentaliti rakyatnya masih dalam kelas ketiga? Kalau kurang pasti akan sesuatu perkara, tanyalah pada yang pakar atau mulakanlah carian sendiri. Sesungguhnya ilmu itu anugerah dari yang Maha Esa.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...