Wednesday, 19 April 2017

Penerima BR1M Terima Dekoder TV Digital

51,407 penerima BR1M dapat dekoder TV Digital

KUANTAN: Seramai 51,407 penerima BR1M di empat daerah di Pahang sudah menerima dekoder percuma bagi siaran televisyen digital melalui projek Pendigitalan Penyiaran Nasional yang dikendalikan MYTV Broadcasting Sdn Bhd. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin, berkata seramai 21,132 penerima di Kuantan; Temerloh (13,252), Pekan (10,370) dan Bentong (6,636).

 "Unit dekoder percuma ini juga akan diedarkan ke daerah lain seperti Bera, Cameron Highlands, Jerantut, Lipis, Maran dan Rompin sepanjang tahun ini apabila stesen pemancar masing-masing mula beroperasi," katanya. Beliau menjawab soalan Datuk Mohamed Arifin Awang Ismail (BN-Chenor) yang ingin tahu perkembangan projek Pendigitalan Penyiaran Nasional di Pahang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini. 

Secara keseluruhannya, Shahaniza berkata, Pahang akan mempunyai enam stesen pemancar TV Digital dan setakat ini empat daripadanya sudah beroperasi. Beliau berkata, stesen pemancar di Kuantan terletak di Bukit Pelindung manakala stesen pemancar Gunung Ulu Kali, Genting Highlands bagi daerah Temerloh dan Bentong. 

Stesen pemancar di Bukit Senggora, Maran untuk liputan di daerah itu, Sri Jaya, Chenor, Chini, Pekan manakala stesen di Bukit Sembilan, Rompin untuk kawasan Bukit Ibam, Muadzam Shah, Bandar Tun Razak dan Nenasi.

 "Oleh itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selaku badan yang mengawal selia projek itu sedang dalam proses akhir untuk menetapkan tarikh pelancaran rasmi bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi," katanya.

Dato' Shahaniza Shamsuddin Kuala Sentul Di Hati
Credit Berita Harian

No comments:

Post a Comment