Thursday, 23 October 2014

RAKYAT SELANGOR SUDAH BOSAN JANGAN HERET RAKYAT LAGI

AZMIN TIDAK BENAR RAKYAT DIPERBODOH TURUN KE JALANAN

Pengarah Komunikasi Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA), Syukri Razak berkata Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali pernah meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak mengheret rakyat turun ke jalanan semata-mata untuk membela isu peribadinya.

“YB Azmin Ali mungkin dia lupa pada PRU 13 tahun lepas, selepas kekalahan Pakatan Rakyat, dia sendiri pernah mengingatkan kepada rakyat atau memberi satu teguran sinis kepada Datuk Seri Anwar supaya jangan lagi susahkan rakyat, jangan lagi heret rakyat ke jalan raya..”katanya kepada KiniTV.

Syukri berkata demikian sebagai menjawab kenyataan ringkas Azmin yang berkata ‘jangan sekat hak rakyat berhimpun’ apabila ditanya wartawan tentang saranan LENSA.

“LENSA mengeluarkan surat atas satu maksud sarkastik (sindiran) supaya rakyat kembali menilai kenapa perlu rakyat turun dalam perhimpunan ‘Rakyat Hakim Negara’..

“Apakah Azmin Ali sewaktu dia mengeluarkan kenyataan pada tahun lepas, apakah dia juga bermaksud sindiran atau dia benar-benar membawa maksud ‘rakyat jangan lagi disusahkan’. Apakah dia benar-benar membawa maksud ‘rakyat sudah benar-benar letih’..”kata Syukri yang menafikan kenyataan LENSA sebelum ini bermaksud menyekat kebebasan rakyat berhimpun.

Menurutnya, rakyat bebas untuk berhimpun tetapi ia mesti ada sebab yang jelas untuk berbuat demikian.

Pada 8 Mei 2013, apabila PKR menganjurkan perhimpunan “Blackout 505″ di Stadium Kelana Jaya, Azmin telah mengeluarkan kenyataan menyindir tindakan Ketua Umum PKR itu agar bermuhasabah serta mengakui kelemahan sendiri atas kegagalan pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Gagal ke Putrajaya, salah siapa? Ikuti penjelasan dalam masa terdekat.” antara kenyataan Azmin dalam akaun Twitter miliknya yang dilihat seperti ditujukan kepada Anwar.

Katanya lagi, laungan reformasi harus bermula dengan bisikan dalam hati sendiri dan jangan mengheret rakyat jika diri sendiri gagal.

Kenyataan Azmin itu merupakan tamparan terhadap Anwar yang pada waktu sama malam itu Ketua Umum PKR sedang berucap di hadapan ribuan penyokong pakatan pembangkang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, bagi membantah keputusan PRU 13.

Dalam tweetnya lagi, Azmin turut meminta keputusan rakyat dalam pilihan raya lalu diterima.

“Terima keputusan rakyat. Maju ke hadapan dengan dasar peduli rakyat bukan membuli rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Rakyat letih dengan asakan politik melampau. Terima hukuman. Muhasabah diri. Akui kelemahan. Maju ke hadapan. Tumpu rakyat bukan kerabat.”

No comments:

Post a Comment